Pengkaji paranormal dari pasukan Penyiasatan Lokasi Paranormal (PSI), Jamie Surina Hisham, berkata mengikut kepercayaan masyarakat itu, 72 jin terbabit adalah ketua utama yang memerintah pasukan tentera syaitan untuk berkeliaran melakukan angkara
di muka bumi.
Beliau berkata, setiap puaka itu mempunyai kepakaran dan 'kesaktian' tertentu antaranya memukau, menyihir, menjelma membentuk sesiapa atau apa saja selain menggunakan pelbagai kekuatan magis untuk mempengaruhi pemikiran manusia seterusnya menyesatkan mereka daripada kebenaran.
"Mengikut mitos kaum terbabit, semua jin atau puaka ini pada asalnya dikurung Raja Solomon dalam tujuh bekas berasingan di sebuah kuil purba di Jerusalem pada ribuan tahun lalu. Akan tetapi apabila tentera Romania datang ke kuil itu, mereka menemui bekas terbabit lalu membukanya menyebabkan semua jin yang terperangkap itu akhirnya bebas sehingga kini," katanya.
Jamie berkata, berikutan jin terbabit memiliki kekuatan sihir dan magis, ada antara puaka terbabit yang dipuja pihak tertentu dalam ritual songsang selain diseru ahli sihir kononnya bagi mendapatkan bantuan makhluk ghaib terbabit. "Antaranya Aaron C Donahue, seorang ahli sihir yang mengaku memiliki kebolehan untuk melihat ke 'alam lain' malah dia juga mendakwa pernah menyeru kebanyakan puaka terbabit untuk muncul di hadapannya," katanya.
Beliau berkata, pihak PSI kini mengadakan kajian mengenai pengaruh budaya dalam sesuatu masyarakat sehingga wujudnya pelbagai tanggapan berlainan mengenai jenis hantu antara suatu kaum dengan kaum yang lain.
"Kajian kami mendapati terdapat 99 mitos hantu dalam masyarakat Melayu manakala bagi kaum Ibrani ini pula, terdapat 72 mitos hantu atau puaka yang dipercayai mereka; setiap bangsa memiliki hantu mengikut versi budaya masing-masing yang jelas berbeza
dengan hantu bangsa lain," katanya.
Kedua-dua kajian mengenai hantu itu iaitu 'Mitos 72 Jin Solomon' yang berdasarkan kepercayaan kaum Ibrani selain 'Kajian 99 Makhluk Halus' yang wujud di alam Melayu, bakal diterbitkan PSI tidak lama lagi. Jamie berkata, antara puaka yang dipercayai kaum Ibrani termasuk masyarakat Barat
ialah:
d Bael -
Bael adalah puaka yang tidak gemar bekerja di bawah sesiapa. Ahli sihir silam yang mendakwa kononnya Bael pernah muncul di hadapan mereka menggambarkan puaka itu memiliki tiga kepala iaitu manusia, kucing dan katak, berkaki labah-labah dan bersuara garau. Ia memiliki kuasa mengghaibkan dirinya dan pengikutnya. Bael adalah raja di timur dan menguasai 66 pasukan tentera syaitan.
d Agares -
Puaka ini dikatakan berkuasa menyebabkan gempa bumi, membekukan sesuatu yang sedang bergerak dan memukau seseorang sehingga menganggap manusia yang menjadi pengikutnya dipandang mulia dan memahami pelbagai bahasa. Ia menguasai 31 pasukan tentera syaitan dan digambarkan menjelma di hadapan ahli sihir sebagai seorang lelaki tua kurus yang memegang burung dan menunggang buaya.
d Vassago -
Digelar 'Raja Ramal' kerana kononnya berkuasa meramal masa hadapan, membantu pengikutnya mengesan harta karun dan mencungkil rahsia lampau. Vassago digambarkan memiliki perwatakan nakal, suka menukar rupa, bentuk dan menyakat sesiapa yang menyerunya.
d Marbas -
Berkebolehan mengubah rupa bentuk sesiapa yang berada di sekelilingnya seperti menukarkan manusia kepada serigala atau beruang, mengetahui rahsia terpendam, menyebabkan penyakit menular serta mampu mengubatinya. Apabila diseru, ia menjelma sebagai seekor kucing besar atau singa selain rupa seorang lelaki.
d Valefor -
Dikenali sebagai puaka yang amat jahat, memiliki sikap yang kurang disenangi dan penuh dengan muslihat. Menjelma sebagai singa berkepala keldai. Pakar dalam ilmu mencuri dan menjadi pendorong dan penghasut supaya seseorang mencuri.
d Amon -
Orang Mesir purba dikatakan menyembah Amon dan ia digambarkan sebagai lelaki berkepala burung selain serigala berekor ular. Bersifat licik dan gemar memanipulasi sehingga menyebabkan manusia menganggap ia sebagai 'tuhan'.
d Paimon -
dikatakan puaka yang amat berbahaya dan berkuasa di kalangan jin. Menguasai 200 pasukan tentera. Ahli sihir silam mengatakan Paimon adalah jin yang amat sukar untuk diseru. Ia menjelma sebagai manusia yang memakai mahkota dan diiringi tenteranya selain muzik tertentu akan berkumandang. Berkuasa menjadikan seseorang itu berpengaruh dan bermartabat.
d Gusion -
Menjelma sebagai lelaki bertubuh sasa dan memakai jubah kuning, bercakap dengan lembut dan tenang serta kelihatan baik. Berkebolehan menjawab segala persoalan lampau dan masa hadapan. Menguasai lebih 45 pasukan tentera.
d Sitri -
Berkuasa membangkitkan nafsu seks dan menghasut supaya manusia bertelanjang dan melakukan hubungan kelamin. Digambarkan menjelma sebagai makhluk berkepala harimau dan bersayap.
d Beleth -
Menguasai 85 pasukan tentera. Menjelma sebagai seorang kesatria yang menunggang kuda pucat dan diiringi muzik tertentu, mulutnya mengeluarkan api. Antara jin yang sukar diseru.
d Lerie -
Suka menghasut sehingga berlakunya perang dan menyebabkan kecederaan yang dialami sesiapa saja ketika perang tidak akan sembuh selagi Lerie tidak beredar. Cara terbaik adalah memotong bahagian yang cedera atau mati. Menguasai 30 pasukan tentera. Menjelma sebagai seorang pemanah kacak.
d Bathin -
Berkuasa memindahkan seseorang ke tempat atau ke negara lain. Menjelma sebagai lelaki gagah berekor ular yang menunggang kuda pucat. Menguasai 30 pasukan tentera.
d Ipos -
Digelar 'Putera Helah' dan menjelma sebagai jin yang memiliki kepala singa dan berkaki angsa. Seseorang yang dikuasai Ipos akan lebih gemar bergaduh daripada bercakap. Menguasai 36 pasukan tentera dan berkuasa menjadikan seseorang itu cerdas dan berani.
FAKTA: Makhluk ghaib